Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Pelancaran Logo Baharu Penggerak Belia Selangor (PeBS) secara maya pada 3 Ogos 2021 – Foto Facebook MAJLIS SUKAN NEGARA (MSN) SELANGOR
AGENDA NASIONAL

Belia Selangor tonggak penting ke arah negeri pintar 2025

SHAH ALAM, 3 OGOS: Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang dijenamakan semula pada tahun lepas berjaya menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri dan belia, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PeBS menjadi tempat golongan itu menyuarakan pandangan untuk disampaikan kepada pimpinan atasan selain membantu menyampaikan agenda negeri ke peringkat akar umbi.

“Kita mahu wujudkan jaringan mantap bagi memastikan anak muda di Selangor tidak tertinggal dalam arus pandangan dan perhatian Kerajaan Negeri.

“PeBS akan bergerak di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membolehkan wujudnya interaksi secara terus antara wakil rakyat dengan anak muda,” katanya sempena Majlis Pelancaran Logo Baharu PeBS secara maya hari ini.

Amirudin berkata PeBS merupakan tonggak penting yang memperkemas usaha Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

“Jaringan dengan anak muda ini mesti dipertingkatkan. Malah kita melaksanakan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang memanfaatkan 3,000 individu dan pertandingan e-sukan untuk memenuhi keperluan anak muda.

“Justeru, kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai aktiviti untuk memenuhi keperluan, kehendak serta program yang menjamin masa depan anak muda di Selangor,” katanya.


Pengarang :