Sukarelawan Troopers membantu orang ramai yang hadir dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Bandar Utama, Bukit Lanjan, Kampung Tunku dan Bukit Gasing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 20 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Belum muktamad tapi PM percaya Lembah Klang boleh nikmati fasa dua

SHAH ALAM, 30 OGOS: Perdana menteri percaya penduduk Lembah Klang termasuk Selangor boleh menikmati kelonggaran fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila negeri ini sudah melepasi 80 peratus kadar suntikan vaksin.

“Syabas Lembah Klang kerana kadar vaksinasi cemerlang yang sudah mencapai lebih 80 peratus! Dengan ini saya berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa seterusnya,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menulis ringkas di Facebook hari ini, beliau bagaimanapun berkata keputusan muktamad tentang kelonggaran itu akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Semua ini bakal diputuskan selepas saya berbincang melalui mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan kabinet yang akan dipengerusikan saya nanti, Insya-Allah,” katanya lagi.

Angka Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) menunjukkan lebih 5.5 juta orang atau 66.1 peratus penduduk sudah lengkap dua suntikan, sementara lebih 6.8 juta orang atau 81.2 peratus menerima satu dos.

Bagi kategori penduduk dewasa pula, setakat tengah malam tadi, 90.3 peratus sudah lengkap menerima dua dos, manakala 110.9 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan.

 

Infografik laporan kumulatif vaksinasi mengikut negeri setakat 29 Ogos 2021 yang disediakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) setakat 29 Ogos 2021.

Pengarang :