Sukarelawan memeriksa aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) peserta program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bilangan ibu hamil suntik vaksin bertambah sejak kematian Siti Sarah

PETALING JAYA, 13 OGOS: Kehadiran ibu hamil di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini, untuk menerima suntikan pelalian meningkat sejak kematian Siti Sarah Raissuddin akibat pandemik Covid-19.

Penyelaras PPV Tropicana Gardens Mall Mohammad Zulmajdi Basyeer berkata pihaknya menerima kehadiran tanpa janji temu antara 10 hingga 20 ibu hamil pada setiap hari sejak pemergian bintang seni tanah air itu.

“Penerimaan golongan ini amat kurang sejak bermulanya program suntikan tanpa janji temu namun meningkat sejak tiga hari lalu, mungkin golongan ini mulai sedar betapa pentingnya mengambil vaksin.

“Apabila ditanya kenapa sebelum ini enggan menerima vaksin, rata-rata mereka menyuarakan kerisauan dengan kandungan serta khuatir jika ada kesan sampingan selepas menerima suntikan,” katanya.

Beliau ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti suntikan kedua DUN Bandar Utama dan Kampung Tunku di PPV Tropicana Gardens Mall hari ini.

Mohammad Zulmajdi berkata seramai 3,200 penerima di dua DUN tersebut hadir bagi mendapatkan dos kedua selepas menerima dos pertama pada 23 Julai lalu.

“Bagi suntikan pelalian tanpa janji temu sebanyak 1,100 baucar sudah ditebus. Kita menjangkakan jumlah ini terus meningkat susulan hari ini merupakan hari terakhir Selvax Komuniti tanpa janji temu.

“Secara keseluruhan sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak Selvax Komuniti tanpa janji temu diadakan bermula 3 Ogos lalu,” katanya.

Selangor menyediakan lima PPV khusus untuk orang ramai mendapat suntikan tanpa janji temu iaitu di Tropicana Gardens Mall; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala warga asing dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.


Pengarang :