Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan Lebuhraya Persekutuan pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bilangan penumpang ikut kapasiti kenderaan bagi individu lengkap vaksin

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk khusus bagi individu lengkap dos vaksin di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara.

Tatacara operasi piawai (SOP) berkuat kuasa semalam yang dimaklumkan di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut menetapkan tiada lagi had perjalanan 10 kilometer bagi golongan berkenaan.

Menurut infografik yang dikongsikan MKN, had dua orang dari isi rumah untuk mendapatkan barangan asas masih terpakai bagi individu yang belum lengkap divaksin.

Sementara had tiga orang jika salah seorangnya merupakan pesakit yang perlu diiring bagi mendapatkan rawatan atau untuk kes kecemasan.

Kerajaan membenarkan individu lengkap dua dos menikmati kemudahan makan di restoran, bersukan dan pergi ke pasar malam di negeri fasa satu PPN mulai semalam.

Kemudahan tersebut sebagai tambahan kelonggaran yang diperkenal pada Isnin lalu di negeri yang lengkap 50 peratus dos kedua.

Seseorang dianggap lengkap vaksin selepas dua minggu menerima dos kedua vaksin Covid-19, serta 28 hari menerima vaksin dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

Pada masa ini, kawasan yang masih dalam fasa satu PPN ialah Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Putrajaya.


Pengarang :