Suasana Medan Selera Seksyen 2, Shah Alam yang masih lengang meskipun kerajaan membenarkan pelanggan yang lengkap dos vaksin makan di premis ketika tinjauan pada 20 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Makan di kedai belum dapat sambutan, ramai bimbang jangkitan virus

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kemudahan makan di restoran buat individu lengkap dos vaksin kurang mendapat sambutan meskipun mereka dibenar berbuat demikian mulai semalam.

Peniaga Medan Selera Seksyen 2 Roslinda Rasid berkata kebanyakan pelanggan lebih selesa membungkus makanan untuk dibawa pulang berikutan bimbang penularan Covid-19.

“Pada waktu pagi tiada pelanggan hadir untuk makan di gerai, mereka mula datang selepas jam 2 petang tetapi jumlahnya tidak ramai.

“Kemungkinan pelanggan masih takut untuk makan di luar, malah kedai juga baru beroperasi dua minggu lalu selepas saya lengkap dos suntikan,” katanya kepada Selangorkini.

Pemilik Restoran Hakim di Seksyen 7, di sini Dato’ Hakimsa Abdul Karim pula menjangka kebenaran untuk pelanggan makan di rangkaian premisnya hanya dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Saya tidak sempat buat persiapan kerana semua kemudahan seperti kerusi dan meja perlu dibersihkan terlebih dahulu. Sebagai persiapan awal, seramai 46 pekerja lengkap dua dos suntikan,” katanya.

Pekerja binaan Muhamad Zulfikri Mohd Anuar, 31, berkata kemudahan makan di kedai akan dimanfaatkan pada waktu tengah hari namun tetap mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Sebelum ini saya dan rakan hanya makan di kawasan tertentu yang dirasakan sesuai namun kita tetap menjaga SOP dan segera beredar setelah selesai makan bagi mengelakkan penularan Covid-19,” katanya.

Kerajaan membenarkan individu lengkap dua dos menikmati kemudahan makan di restoran, bersukan dan pergi ke pasar malam di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan tersebut sebagai tambahan kelonggaran yang diperkenal pada Isnin lalu di negeri yang lengkap 50 peratus dos kedua.


Pengarang :