Warga asing turut menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sijangkang di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Taman Banting Baru pada 8 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bimbang jangkitan virus, OKU asnaf lega dapat vaksin Selangor

BANTING, 9 OGOS: Seorang lelaki berkelainan upaya (OKU) berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana tidak menyisihkan golongan itu dalam program Vaksin Selangor (Selvax).

Amran Omar, 64, yang kudung sebelah kaki akibat kencing manis bersemangat hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Banting Baru di sini sejak awal pagi.

Beliau sebolehnya mahu divaksin lebih awal memandangkan kerap berulang-alik ke hospital dan Institut Jantung Negara bagi mendapatkan rawatan.

“Pakcik tahu program ini dari jiran. Pakcik tiada telefon canggih. Dahulu kawan ada daftarkan MySejahtera tetapi dapat dekat Saujana, jauh tiada kenderaan.

Amran Omar, 64. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Lepas batalkan terus tidak dapat. Pakcik hendak vaksin tetapi tidak tahu bagaimana. Bila tahu hari ini ada, terus datang awal sebab tidak mahu terlepas,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau yang juga seorang asnaf memaklumkan turut mendapat bantuan bulanan tetap daripada Lembaga Zakat Selangor antaranya bayaran sewa rumah, makanan dan tunai.

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana selalu prihatin dengan orang susah macam pakcik. Banyak tolong pakcik,” kata Amran lagi.

Pada 16 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua warga Selangor yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai dengan melayari laman sesawang vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :