Sekolah agama kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bina banyak sekolah bukti negeri martabatkan pendidikan Islam

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pembinaan beberapa sekolah agama baharu di negeri ini membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa berusaha mematabatkan pendidikan Islam.

Dato’ Menteri Besar berkata Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Pandan Indah, Hulu Langat; Sekolah Rendah Agama (SRA) Denai Alam, Shah Alam dan SRA Country Homes, Gombak akan beroperasi tahun ini.

“Kita sentiasa prihatin dengan permintaan masyarakat untuk mendapatkan pendidikan berteraskan Islam dan sedar tradisi pendidikan diurus Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu dipertahankan.

“Kewujudan sekolah agama kelolaan Jais seperti prasekolah, sekolah rendah agama (SRA), SRA Integrasi (SRAI), Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta MITS akan terus diperkasa hari ini dan masa depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap ketika merasmikan majlis sambutan Hari Guru Jais 2021 bertemakan “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jais hari ini.

Amirudin berkata peruntukan juga akan disalurkan untuk membaik pulih bangunan sekolah supaya sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dijalankan secara kondusif.

“Melalui peruntukan dasar baharu ‘one-off’, Kerajaan Negeri meluluskan perbelanjaan bagi tujuan pembelajaran di SRAI dan MITS. (Usaha ini) seiring slogan Selangor Maju Bersama,” katanya.

24 November lalu, Setiausaha Sulit kepada Amirudin Saifuddin Shafii memaklumkan Selangor memperuntuk sejumlah RM211.11 juta khusus untuk pendidikan Islam pada 2021.

Peruntukan pendidikan Islam negeri ini meliputi:

  • RM1.1 juta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 4,200 guru Kafa.
  • RM10 juta pembinaan SRA Denai Alam.
  • RM11 juta pembinaan SRA Ehyaul Falah, Sabak Bernam.
  • RM12 juta pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Pandan Indah, Hulu Langat dan MITS Bagan Lalang, Sepang.
  • RM5.6 juta pembinaan Akademi Syahadah Tahfiz Al Faizin, Kuala Selangor
  • RM2 juta program ‘Fast Track’ Tahfiz bagi memberi peluang penajaan kepada pelajar tahfiz layak untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  • RM2 juta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
  • Pembinaan sembilan masjid dijangka siap tahun ini.
  • Pembiayaan mengurus Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) .
  • Peruntukan membaik pulih masjid dan surau seluruh negeri.
  • Sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM200,000 dalam bentuk komputer riba kepada 42 SRA dan Kafa.

Pengarang :