Anggota polis memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Duta bagi memastikan orang ramai tidak merentas daerah atau negeri ketika tinjauan pada 13 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Boleh rentas negeri mulai Selasa jika lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 8 OGOS: Individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di seluruh negara dibenar merentas daerah dan negeri dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara.

Namun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran yang berkuat kuasa Selasa ini tertakluk kepada pasangan suami isteri jarak jauh untuk bertemu dan ibu bapa untuk berjumpa anak bawah 18 tahun.

Lengkap dua dos vaksin bermaksud seseorang itu melepasi tempoh 14 hari selepas menerima suntikan Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac manakala 28 hari bagi satu dos vaksin Johnson & Johnson dan Cansino.

“Bagi kemudahan kuarantin pula pengembara warganegara dan bukan warganegara mempunyai kediaman di Malaysia termasuk PR dan Malaysia MY Second Home yang pulang atau tiba dari luar negara dibenar menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital,” katanya dalam pengumuman khas hari ini.

Kebenaran kepada individu di negeri fasa dua PPN dan seterusnya:

  • Rentas daerah
  • Aktiviti “dine-in” atau makan di restoran atau kedai makan
  • Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor)
  • Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan homestay dan hotel


Pengarang :