Istana Negara tersergam indah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bukan hanya lapan, Umno dedah nama 14 wakil rakyat tolak Muhyiddin

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sekurang-kurangnya 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), bukan hanya lapan seperti disebut dalam kenyataan perdana menteri minggu lepas.

Nama semua 14 wakil rakyat tersebut dinyatakan dalam warkah Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 4 Ogos, hari Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman khas.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada warkah ini dihantar ke Istana Negara sebelum atau selepas kenyataan perdana menteri dalam perutusan khas yang disiar secara langsung tengah hari Rabu lalu.

“Semalam (3 Ogos) saya menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan mengenai lapan ahli parlimen Umno, menulis surat kepada Baginda bahawa mereka menarik sokongan kepada saya,” kata Muhyiddin dalam perutusan tersebut.

Warkah bersama surat akuan penarikan sokongan 14 wakil tersebut dimuatkan di laman web Umno Online hari ini.

Selain Zahid sendiri, nama-nama lain termasuklah Datuk Seri Bung Moktar Radin (timbalan ketua menteri Sabah) dan Datuk Azalina Othman Said (timbalan speaker Dewan Rakyat).

“Patik ingin mengesahkan tiada seorang pun ahli parlimen yang menarik kembali surat akuan yang telah dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku.

“Dengan ini patik memperakui 14 ahli parlimen yang telah diabsahkan sepenuhnya,” surat bertarikh 4 Ogos tersebut dipetik. Surat 30 Julai yang turut didedahkan hari ini tidak menyebut sebarang nama.

Senarai ini bagaimanapun tidak menamakan Datuk Seri Noraini Ahmad (Parit Sulong) yang meletakkan jawatan menteri pengajian tinggi petang Jumaat lalu, menjadikan jumlah semuanya 15 orang.

Selain itu, beberapa lagi pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Rahman Dahlan, Datuk Mohd Razlan Rafi, Datuk Rosni Sohar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meletakkan jawatan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah pelbagai institusi kerajaan sejak minggu lepas.

Senarai ahli parlimen yang menandatangani surat akuan (serta tarikh):

Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) – tidak pernah sokong PN
Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) – 29 Julai

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) – 30 Julai
Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) – 30 Julai
Datuk Azalina Othman Said (Pengerang) – 30 Julai
Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang) – 30 Julai
Datuk Seri Najib Abdul Razak (Pekan) – 30 Julai

Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) – 30 Julai
Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) – 30 Julai
Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) – 30 Julai
Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit) – 30 Julai
Datuk Mohamad Alimin (Kimanis) – 30 Julai

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) – 3 Ogos
Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling) – 3 Ogos


Pengarang :