Selangorkini
Orang awam yang disyaki positif Covid-19 hadir pada awal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI PBT SELANGOR

CAC Pelabuhan Klang lebih selesa kepada pengunjung dan petugas

PELABUHAN KLANG, 2 OGOS: Pusat penilaian Covid-19 (CAC) Pelabuhan Klang yang baharu beroperasi Jumaat lalu memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.

CAC yang dijalankan di Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang itu juga menjamin keselamatan orang awam memandangkan lokasinya jauh dari kawasan penempatan dan jalan utama.

Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata walaupun kehadiran dijangka mencecah antara 2,000 hingga 3,000 individu setiap hari, namun ia tidak menimbulkan masalah terutama berkaitan parkir.

“Kawasan ini lebih luas. Orang awam senang meletakkan kenderaan malah tidak berlaku kesesakan walaupun trafik hanya dijaga empat kakitangan MPK,” kata Mohd Azri Zulkifli ketika ditemui hari ini.

Petugas kesihatan membantu menolak kerusi roda warga emas yang selesai melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya kawasan padang di hadapan dewan terbabit juga membolehkan petugas kesihatan mendirikan beberapa khemah bagi membuka kaunter pendaftaran.

“Ini lebih sistematik. Proses pendaftaran dan penilaian diasingkan jadi dalam satu-satu masa lebih ramai pesakit dapat diurus,” katanya.

Bermula Jumaat, CAC daerah Klang di Dewan Sukan Taman Sri Andalas dipindahkan ke dewan terbabit selepas penduduk Taman Sri Andalas membantah kerana lokasinya berhampiran kawasan perumahan.

Berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengenalpasti lokasi sesuai.

CAC ditubuhkan KKM pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :