EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) bergambar bersama penunggang e-panggilan dalam program sumbangan kepada peserta RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cadang kerajaan wujud skim khas lindung penunggang e-panggilan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Skim khas perlu diwujudkan kerajaan khusus untuk melindungi penunggang e-panggilan yang sering terdedah dengan risiko kemalangan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata beliau akan bertemu dengan menteri sumber manusia (M Saravanan) untuk mencadangkan perkara tersebut.

“Saya akan bertemu menteri sumber manusia supaya dapat pertimbang satu skim khas khusus untuk mereka yang terlibat dalam perkhidmatan ini (e-panggilan) lebih selamat di jalanan.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan jumpa dan mengusulkan cadangan ini,” katanya ketika ditemui media pada program pelepasan peserta Sukarelawan Selangor (SERVE) Misi Bantuan Kerajaan Selangor di Dataran Shah Alam di sini semalam.

Pada masa sama, beliau menasihatkan penunggang e-panggilan agar lebih berhati-hati ketika bertugas bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Kerajaan Negeri menyediakan RM4 juta bagi menjayakan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sehingga tahun depan.

Antara syarat menyertai RiDE ialah pemohon mesti berumur 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan di bawah RM2,000 bagi yang bekerja serta memperoleh lesen motosikal B2 bermula Januari tahun ini.

RiDE menetapkan sasaran jumlah tersebut dengan penyertaan belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal RM370, selain boleh mengikuti kursus e-panggilan bernilai RM200 dan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Mereka yang berminat boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.


Pengarang :