Selangorkini
Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Cadang wujud subsidi terapi tangani isu kesihatan mental

SHAH ALAM, 27 OGOS : Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif subsidi terapi bagi menangani isu kesihatan mental.

Juwairiya Zulkifli berkata perkara itu wajar dipertimbangkan kerana kos menjalani sesi terapi dan perubatan agak mahal sekaligus menyukarkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan tersebut.

“Saya mencadangkan agar inisiatif subsidi terapi dapat dipertimbangkan pada masa akan datang, usaha ini untuk menjamin kesejahteraan serta kesihatan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perbahasannya, Juwairiya berkata menyambut baik inisiatif mewujudkan Selangor Mental Sihat (Sehat) yang dapat membantu individu melakukan saringan mental secara kendiri.

“Sehat adalah sebuah fungsi dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) membolehkan pengguna melakukan ujian saringan awal secara kendiri untuk tahu tahap kesihatan mental masing-masing,” katanya.

Pada 15 Ogos, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan program Sehat bakal dilancar pada 30 Ogos ini.

Program itu bertujuan membantu penduduk Selangor meluahkan tekanan mental yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.


Pengarang :