Kumpulan Caliph Buskers membuat persembahan pada program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Caliph Buskers lepas ‘gian’ buat persembahan di PPV negeri

PETALING JAYA, 22 OGOS: Inisiatif Kerajaan Negeri menempatkan pemuzik jalanan atau busker di pusat pemberian vaksin (PPV) memberi peluang kepada golongan itu menjana pendapatan ketika pandemik.

Selain menghiburkan orang ramai, penyanyi utama kumpulan Caliph Buskers Azmi Saat berkata mereka juga dapat melepaskan gian setelah sekian lama tidak membuat persembahan.

“Dengan adanya projek Kita Buskers Selangor, kumpulan busker dapat menjana pendapatan kerana selama ini tidak dapat keluar mencari rezeki akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selain meraih pendapatan, kami juga dapat melepaskan gian kerana sudah lama tidak membuat persembahan,” katanya ditemui di PPV Tropicana Gardens Mall di sini semalam.

Azmi turut berharap projek itu diperluas ke beberapa PPV lain supaya dapat membantu lebih ramai busker yang majoriti bergantung sepenuhnya dengan bermain muzik.

“Inisiatif ini perlu diteruskan dengan menambah lagi cawangan kerana ramai lagi busker menanti sekiranya terdapat kekosongan slot,” katanya.

Pada 7 Ogos, EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di PPV terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Setakat ini, seramai 720 pemuzik jalanan dibantu melalui projek tersebut dengan peserta menerima sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi meneruskan kehidupan.

Projek selama sebulan mulai 15 Ogos membabitkan PPV Bangi Avenue, Sunway, Dewan MBPJ, MSU Shah Alam, Tanjung Sepat dan Gombak.


Pengarang :