Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 23 Ogos 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Caruman Perkeso guru Kafa jamin kebajikan warga pendidik

SHAH ALAM, 23 OGOS: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) mampu menjamin kebajikan warga pendidik di negeri ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan perbelanjaan RM1.1 juta memanfaatkan seramai 4,200 guru Kafa.

“Beta amat berkenan dengan langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan caruman Perkeso kepada 4,200 guru Kafa. Langkah ini bagi memastikan kebajikan warga pendidik terus dijamin dan dipelihara,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Dalam titah Baginda, Sultan Sharafuddin turut berkenan pembinaan beberapa sekolah baharu yang beroperasi tahun ini dengan peruntukan keseluruhan RM22 juta.

Baginda bertitah sekolah tersebut meliputi Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Pandan Indah, Hulu Langat; Sekolah Rendah Agama (SRA) Denai Alam, Shah Alam dan SRA Country Homes, Gombak.

“Ini adalah bukti komitmen kerajaan beta bagi memastikan agenda pendidikan Islam terus diperkasa. Pendidikan adalah tunjang utama dalam aspek pembangunan modal insan,” titah baginda.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.


Pengarang :