Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 secara bersasar di Stadium MBSJ Serdang Jaya pada 25 Jun 2021. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Covid-19: 45 kluster baharu, 30 babit tempat kerja

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Sebanyak 45 kluster baharu Covid-19 dicatatkan hari ini dengan 30 daripadanya merupakan kluster tempat kerja, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sejumlah 11 kluster lagi merupakan kluster komuniti dan masing-masing dua kluster berisiko tinggi serta kluster pendidikan tinggi.

“Selangor mencatatkan kluster tempat kerja paling tinggi iaitu sembilan diikuti Johor (enam), masing-masing empat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur diikuti Kelantan (tiga), Sarawak (dua) manakala Terengganu dan Pahang masing-masing melaporkan satu kluster tempat kerja,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi kluster komuniti, jumlah tertinggi dicatatkan di Kelantan iaitu tiga, masing-masing dua di Pahang dan Sarawak serta masing-masing satu di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.

Katanya sebanyak 318 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 93 kes kematian di rumah atau brought-in-dead (BID) iaitu jumlah BID tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik ini melanda negara.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes aktif hari ini ialah 237,021 dan kes yang dirawat di unit rawatan rapi ketika ini ialah 1,059 orang dengan 543 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya kes sembuh hari ini pula ialah 17,687 orang menjadikan jumlah kumulatif pulih mencecah 1.09 juta.

Dr Noor Hisham juga berkata daripada 21,668 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 440 atau 2.1 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata sebanyak 21,228 kes atau 97.9 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Secara keseluruhan, hanya 2,720 kes atau 12.6 peratus daripada kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :