Jenazah Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan pada jam 1.45 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak pada 9 Ogos 2021. Foto Facebook Artis Malaysia
AGENDANASIONAL

Covid-19: 70 ibu hamil meninggal dunia, lonjakan luar biasa kes pada Mei dan Jun

SHAH ALAM, 11 OGOS: Walau jumlah wanita hamil dijangkiti Covid-19 mula meningkat sejak Oktober tahun lalu, kes kematian seramai 70 orang semuanya direkodkan tahun ini, dedah ketua pengarah kesihatan hari ini.

“Sehingga 9 Ogos 2021, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 telah dilaporkan berbanding tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan pada tahun 2020,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Tambahnya, secara purata 200 ibu hamil dijangkiti virus sebulan sejak Oktober 2020 hingga Jun tahun ini tetapi terdapat lonjakan luar biasa hingga 850 kes pada Mei dan 899 kes lagi pada Jun tahun ini.

“Sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia. Dianggarkan hampir satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid-19,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Isu ibu hamil menjadi perhatian utama apabila selebriti Siti Sarah Raissuddin yang mengandung tujuh bulan meninggal dunia kelmarin setelah ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) beberapa hari sebelumnya.

Isteri pelawak Shuib Sepahtu yang melahirkan anak Jumaat lalu tidak sempat mengambil vaksin kerana sedang hamil. Pasangan berkenaan bersama tiga cahaya mata disah positif pada 27 Julai.


Pengarang :