Penggali kubur dan pasukan Persatuan Amal Valley menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19 rekod 219 kematian, tertinggi sejak pandemik menular

SHAH ALAM, 2 OGOS: Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini iaitu 219 kes sejak penularan Covid-19 di negara ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat wabak adalah sebanyak 9,402 atau 0.82 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia membabitkan 201 warganegara dan 18 warga asing sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi yang dilaporkan pada 26 Julai iaitu 207 kes.

Selain itu, jumlah kes sembuh pula sebanyak 11,767 kes menjadikan jumlah keseluruhan 937,732 individu sembuh atau 81.8 peratus manakala kes aktif pula 199,051 kes.

Jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini ialah 1,063 orang dengan 532 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 15,764 kes baharu Covid-19 yang mana 98.2 peratus terdiri daripada kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Sementara itu, 1.8 peratus pula daripada kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlukan bantuan oksigen) dan lima (kritikal dan perlu bantuan oksigen).


Pengarang :