ADN Pandamaran Leong Tuck Chee meninjau proses suntikan pelalian program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19, Shah Alam pada 5 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Daftar program Vaksin Selangor jika belum disuntik pelalian

SHAH ALAM, 5 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran menyeru orang ramai yang belum menerima suntikan pelalian segera mendaftar program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Wakil rakyatnya, Tony Leong Tuck Chee berkata orang ramai boleh memberi nama untuk mendapatkan vaksin menerusi pusat khidmat masyarakat, ketua kampung, persatuan kebajikan serta persatuan penduduk.

“Kita menguar-uarkan program Selvax Komuniti menerusi pertubuhan dan pemimpin setempat termasuk hebahan kepada pengusaha restoran dan penjaja.

“Untuk program hari ini, seramai 800 penduduk hadir menerima dos pertama vaksin di bawah Selvax Komuniti termasuk yang hadir tanpa janji temu,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini.

Beliau berkata pihaknya bercadang bekerjasama dengan  penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru dan Sementa untuk memasukkan nama penerima vaksin jika terdapat kekosongan di kawasan tersebut.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Selain itu, sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha membabitkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :