Ilustrasi tekanan mental yang dialami seorang lelaki. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Dampak negatif wabak, 117 kes bunuh diri di Selangor sejak Januari

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 117 kes bunuh diri dilaporkan di Selangor dalam tempoh pandemik sejak Januari hingga Julai, kata Dato’ Menteri Besar.

Merujuk data polis, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri itu merekodkan angka tertinggi daripada 468 kes dalam negara sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 631 kes bunuh diri dicatatkan di seluruh negara tahun lalu berbanding 609 pada tahun sebelumnya.

“Setelah hampir dua tahun kita diuji dengan pandemik, semakin jelas Covid-19 memberi impak negatif kepada masyarakat khususnya membabitkan kesihatan mental,” katanya.

Bercakap ketika melancarkan fungsi Selangor Mental Sihat secara maya malam tadi, Amirudin berkata pakar dan ahli akademik sudah menjangka peningkatan gangguan kesihatan sejak penularan wabak.

Sebagai bukti, katanya, talian sokongan psikososial Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sebanyak 43,078 panggilan sejak 18 Mac sehingga 23 Disember tahun lalu.

“Manakala sejak 1 Januari hingga 18 Jun tahun ini, ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksana, talian berkenaan menerima 122,328 panggilan iaitu tiga kali ganda berbanding 2020.

“Hampir 89 peratus daripada jumlah panggilan memerlukan sokongan emosi dan kaunseling manakala selebihnya melibatkan maklumat berkenaan Covid-19 serta isu hubungan kekeluargaan,” katanya.

 


Pengarang :