Aksi pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menuju ke garisan penamat pada perlumbaan akhir keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrom, Shizuoka pada 8 Ogos 2021. Foto BERNAMA
PERSONALITIRENCANA

Dari basikal besi ke pingat perak Olimpik

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Daripada menunggang basikal biasa diperbuat daripada besi di kampung dan menjadikan bukit serta belukar sebagai gelanggang latihan, hari ini jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang seorang pemenang pingat perak Olimpik.

Mohd Azizulhasni yang diberi nama julukan “The Pocket Rocketman” kini merupakan pelumba berbasikal trek negara paling berjaya dengan rekod satu pingat perak dan satu gangsa sepanjang empat penampilan di pentas Olimpik sejak edisi Beijing 2008.

Malah, beliau merupakan atlet berbasikal pertama negara menaiki podium Olimpik.

Pingat perak diraih beliau dalam acara keirin pada hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah pencapaian tertinggi dalam kariernya selepas memenangi gangsa dalam acara sama di Rio 2016 sebelum bergelar juara dunia keirin di Hong Kong lapan bulan kemudian pada April 2017.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut boleh berbangga selepas muncul antara dua atlet Malaysia yang berjaya memenangi pingat perak Olimpik dalam acara individu di samping legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei (Beijing 2008, London 2012, Rio 2016).

Atas pelbagai kejayaan dilakar dan bakti yang ditabur dalam mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2017, namun segalanya bermula daripada sebuah pengorbanan.

Selain pengorbanan, keberanian dimiliki pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan Universiti Deakin, Melbourne itu untuk mencuba sesuatu baharu turut melonjakkan potensi tersembunyi dalam diri beliau.

Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menunjukkan pingat perak kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas majlis penyampaian pingat acara akhir keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrom, Shizuoka pada 8 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Jurulatih pertamanya Rozimi Omar yang meninggal dunia pada 2015, adalah individu yang mengarahkan Mohd Azizulhasni untuk fokus kepada arena trek, biarpun beliau berkemampuan beraksi dalam hampir kebanyakan acara seperti BMX dan MTB.

Beliau bersama arwah jurulatihnya sering berulang-alik dari Dungun ke Kuala Lumpur untuk menyertai siri perlumbaan di Velodrom Cheras yang dirobohkan pada 2017 dan ketika itu beliau tidak mempunyai peralatan khas untuk bertanding di trek.

Ayah kepada dua cahaya mata itu juga pernah dibekalkan RM100 oleh ibunya untuk bertanding di Kejohanan Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2002 dan meraih pingat emas kategori bawah 15 tahun dengan berbekalkan basikal yang dipinjam daripada pelumba lain.

Segala pengorbanan dilakukan beliau sewaktu remaja membawanya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dan bakat serta potensi beliau lebih terserlah dan mula diserap ke dalam pasukan kebangsaan sebelum mencipta nama di Kejohanan Trek Asia 2008 – memenangi pingat emas keirin dan 200m pecut.

Nama Mohd Azizulhasni mula meniti di bibir peminat sukan tanah air selepas memenangi pingat perak acara pecut di Kejohanan Dunia 2009 di Poland diikuti kejayaan merangkul perak dan emas acara keirin masing-masing pada Kejohanan Dunia 2010 di Denmark dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Insiden kemalangan di Manchester, United Kingdom pada 2011 ketika beliau menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia yang menyaksikan betis kirinya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter membuktikan semangat wira yang tersemat dalam diri Mohd Azizulhasni.

Beliau menunjukkan semangat luar biasa apabila bangkit dan mengayuh basikalnya ke garisan penamat biarpun serpihan kayu masih tertusuk di betisnya untuk memenangi pingat gangsa acara keirin.

Di pentas Sukan Asia, beliau pernah merangkul pingat emas acara pecut dan perak (pecut berpasukan) pada edisi Jakarta-Palembang 2018 sementara pada penyertaan di Sukan Komanwel, beliau berjaya memenangi gangsa pecut berpasukan pada edisi Delhi 2010 dan keirin (Glasgow 2014).

Pada aksi final di Velodrom Izu di Shizuoka, yang berlangsung sengit, hari ini, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mengesahkan pingat emas untuk mengekalkan gelarannya sekali gus memecahkan rekod enam pingat emas legenda berbasikal trek Britain Chris Hoy.

Mohd Azizulhasni melintasi garis penamat untuk pingat perak manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.

-BERNAMA


Pengarang :