Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Data internet percuma bantu mudahkan PdPR diagih Oktober

SHAH ALAM, 25 OGOS: Data internet percuma akan diagihkan kepada pelajar pada Oktober ini bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dato’ Menteri Besar berkata insiatif selama setahun melibatkan pelajar yang menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan golongan berpendapatan rendah.

“Kita menyedari PdPR merupakan salah satu unsur penting yang diperlukan. Saya faham peranti salah satu daripada kekangan tetapi bila kita melawat rumah ke rumah, paling tidak ada peranti milik keluarga yang boleh dikongsi.

“Tetapi bekalan internet juga merupakan salah satu yang kritikal jadi Kerajaan Negeri ambil pendirian ingin membantu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Templer Mohd Sany Hamzan berhubung peruntukan untuk pelajar yang memerlukan peranti bagi kemudahan PdPR.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar PTRS, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Beliau menjelaskan manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :