Sekumpulan nelayan kelihatan membawa hasil yang diperoleh bagi diedarkan ke pasar nelayan berdekatan di Jeti Pasar Nelayan Kampung Kelanang di sini. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Data internet percuma mudahkan urusan perniagaan maya nelayan, petani

SHAH ALAM, 12 OGOS:Pemberian internet percuma kepada petani membantu golongan itu meluaskan perniagaan ke platform e-dagang, kata pengerusi Persatuan Agropreneur Selangor.

Mohd Bukhari Bachok berkata menerusi skim Data Internet Selangor (DIS) petani sentiasa mempunyai akses teknologi yang memudahkan urusan jualan dalam talian.

Pengerusi Persatuan Agropreneur Selangor, Mohd Bukhari Bachok

“Sekarang ramai petani terjejas akibat pandemik Covid-19 jadi bantuan ini dilihat membantu petani untuk cuba pasarkan produk mereka secara maya.

“Mereka boleh mempelbagaikan cara promosi malah pelanggan juga tidak terhad,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Langat melihat bantuan berkenaan akan memudahkan urusan kerja mereka.

“Bila ada internet setiap masa, urusan seperti nilai jualan dan jumlah tangkapan akan lebih cepat diketahui malah membolehkan jualan segar dibuat di media sosial.

“Saya akan menggesa semua ahli untuk rebut peluang ini. Kerja akan menjadi mudah selain dapat tingkatkan pendapatan,” kata Mat Jaman Haris.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim meminta petani memanfaatkan tawaran data internet percuma selama 12 bulan itu berikutan terdapat kuota 2,000 untuk golongan terbabit.

Mereka yang berminat boleh mengisi butiran diri menerusi pautan Tinyurl.com/DISWargaTani sebelum permohonan ditutup 31 Ogos ini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) yang dilengkapi data internet secara percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel).

Beliau menjelaskan manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :