Sukarelawan memeriksa aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) orang ramai yang hadir menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 1 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Demi lindungi keluarga, lelaki memandu dari Ipoh ke Kuala Selangor untuk vaksin

SHAH ALAM, 2 OGOS: Demi melindungi diri dan keluarga, seorang lelaki sanggup memandu sejauh 200 kilometer dari Ipoh, Perak ke Kuala Selangor untuk menerima suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Muhammad Khairi Wahid, 38, yang juga anak jati Selangor memaklumkan menerima notifikasi janji temu menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) pagi tadi sebelum memohon kebenaran rentas negeri.

Beliau yang bekerja lebih 10 tahun sebagai pegawai perkhidmatan jualan di Ipoh sering berurusan dengan orang ramai menyebabkannya bimbang berikutan masih belum divaksin.

Muhammad Khairi Wahid

“Bekerja dalam situasi pandemik Covid-19 agak berisiko kerana saya mempunyai lima anak yang masih kecil termasuk bayi berusia tiga bulan, bimbang jika bawa penyakit pula kepada mereka.

“Saya dimaklumkan mengenai Selvax oleh ibu dan adik beradik di Selangor, mereka cadangkan daftar SELangkah dan saya bersyukur tidak sampai 24 jam terus mendapat janji temu hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau antara penerima suntikan di Dewan Bandar Baru, Kuala Selangor di sini, hari ini.

Muhammad Khairi memaklumkan sudah berdaftar di MySejahtera sejak Mac namun tidak menerima sebarang tarikh janji temu.

“Lama saya tunggu, setiap hari semak MySejahtera tetapi isteri saya yang terlebih dahulu dapat janji temu namun tidak boleh divaksin lagi kerana baharu sahaja melahirkan anak,” katanya.

Pada masa sama beliau turut memuji proses pemberian suntikan pelalian di dewan berkenaan yang disifatkan mudah, pantas, teratur dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Menerusi Selvax Komuniti, program yang terangkum dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sebanyak 500,000 dos disediakan untuk manfaat 250,000 penduduk di negeri ini.

Inisiatif bernilai RM200 juta menyasar warga emas, orang kelainan upaya, golongan berpendapatan rendah dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :