Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Diketuai Anwar, PAKATAN tawar ‘khemah besar’ agenda reformasi untuk rakyat

SHAH ALAM, 23 OGOS: Semua parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) berazam untuk memperkukuh kerjasama melalui kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi.

Menerusi satu kenyataan, Majlis Presiden berkata gabungan itu sedia untuk berunding dan bekerjasama bawah konsep “khemah besar” berdasarkan agenda reformasi dan demi kepentingan rakyat.

“Usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi kaedah ‘khemah besar’ dalam kalangan ahli
pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PAKATAN juga berkata mereka terus fokus untuk mendapatkan semula mandat rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Segala persiapan menuju PRU15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat,” katanya.

Namun, kenyataan itu tidak menyentuh tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan penglibatan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.


Pengarang :