Bangunan Parlimen Malaysia kelihatan tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dr Noor Hisham gesa semua mesyuarat di bangunan Parlimen ditunda dua minggu

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen, ditangguhkan selama dua minggu bermula 29 Julai lalu.

Ketua pengarah kesihatan berkata cadangan itu mengambilkira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen.

“Penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

“Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai dinasihat memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan jika mengalami gejala perlu jalani pemeriksaan serta rawatan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau hasil penilaian risiko berdasarkan faktor epidemiologi dan persekitaran mendapati Parlimen adalah satu perhimpunan berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19 walaupun jumlah kes positif 0.8 peratus.

Mengulas lanjut mengenai risiko jangkitan Covid-19 di Parlimen, beliau menjelaskan terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi punca penularan wabak berkenaan.

“Keadaan dewan Parlimen yang bertutup, meningkatkan risiko jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar atau menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam,” katanya.

Faktor lain termasuk:

– Tempoh berada dalam dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang.

– Perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau, kafe dan sebagainya oleh ramai individu termasuk kes.

– Penjarakan fizikal dalam Dewan kurang dari satu meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja.

– Perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan.

Pada 29 Julai lalu, dua kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kalangan petugas. Susulan itu saringan menggunakan sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) saliva dilakukan terhadap 1,183 individu dan mendapati sembilan lagi kes positif Covid-19.


Pengarang :