Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dr Noor Hisham: Varian Lambda belum dikesan di Malaysia

SHAH ALAM, 17 OGOS: Ketua pengarah kesihatan mengesahkan setakat hari ini varian Lambda Covid-19 masih belum dikesan di negara ini.

Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata ujian terbaharu yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mengesan varian Delta.

“Ujian pemeriksaan genomik terbaharu menunjukkan kesemua 43 sampel merupakan dari varian Delta, sebagai VOC (varian yang membimbangkan) yang dominan.

“Setakat ini tidak ada varian Lambda yang dikesan di negara kita,” katanya menerusi Twitter.

Beliau berkata demikian selepas menjawab persoalan dibangkitkan pengguna Twitter, Irwan Fahmi Ideris yang meminta kepastian sama ada varian itu sudah ada di negara ini atau tidak.

Pada 13 Ogos, Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya belum mengesan varian itu di negara ini.

Varian Lambda yang dikenali sebagai C.37, pertama kali dikesan di Peru dan mengakibatkan jangkitan lebih 80 peratus kes di negara itu.


Pengarang :