Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kedua-dua lelaki itu berjaya dikeluarkan dari lubang tersebut pukul 4.30 dan 5 petang, ketika ditemui Bernama hari ini. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Dua lelaki warga India maut terhidu gas beracun di Cyberjaya

CYBERJAYA, 21 OGOS: Dua lelaki warga India maut dipercayai akibat terhidu gas beracun ketika melakukan kerja-kerja memasang kabel di dalam lubang laluan air ‘manhole’ di Persiaran SP3 di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa Kesavan Matarasan, 30, dan Sailu Makkala, 40, bersama lima lagi rakan melakukan kerja di tempat tersebut sebelum mereka dilaporkan sesak nafas dan tidak sedarkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata mangsa yang berada di dalam lubang sedalam 39 kaki (12 meter) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terhidu gas.

“Mayat kedua-dua lelaki itu berjaya dikeluarkan dari lubang tersebut (masing-masing) pada 4.30 petang dan 5 petang oleh anggota Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata seramai 20 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan HAZMAT Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 2 petang.

“Anggota HAZMAT mengesahkan bahawa terdapat gas di dalam lubang berkenaan. Pemeriksaan kandungan udara dan gas dilaksanakan sebelum anggota melakukan kerja-kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

– BERNAMA


Pengarang :