ADN Pandamaran Tony Leong Tuck Chee
ADNSELANGOR

DUN Pandamaran agih 2,900 bantuan makanan sejak PKP 3.0

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sebanyak 2,900 bakul makanan diagihkan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Wakil rakyat Tony Leong Tuck Chee berkata bakul makanan itu diberikan kepada penduduk yang diberhentikan kerja ketika pandemik Covid-19 dan mereka yang terjejas pendapatan.

“Selain bakul makanan bernilai RM50, kita turut menyumbang susu bayi dan lampin pakai buang kepada lebih 100 keluarga memerlukan.

“Tumpuan tidak sahaja diberikan kepada penduduk dalam Pandamaran tetapi juga kepada pengundi menetap di luar kawasan yang juga terjejas pendapatan,” katanya selepas meninjaun program Vaksin Selangor (Selvax) di PPV Hotel De Palma, Seksyen 19 semalam.

Tambah beliau setakat ini peruntukan diberikan Kerajaan Negeri untuk pengagihan bakul makanan sudah digunakan sepenuhnya.

“Namun, bantuan tetap diteruskan menggunakan sumbangan syarikat dan individu persendirian. Sebagai contoh kelmarin kita menerima baucar Pasaraya 99 Speedmart sumbangan sebuah syarikat bernilai RM20 dengan jumlah RM10,000.

“Baucar ini mula diberikan kepada keluarga terkesan dengan masing-masing menerima RM80 untuk digunakan membeli keperluan harian,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.


Pengarang :