Penyelaras DUN Sementa Mohd Saadon Muah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Sementa lancar bantuan makanan bulanan kepada penduduk terjejas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa melancarkan program bakul ihsan bagi membantu keluarga yang hilang punca pendapatan susulan pandemik Covid-19, kata penyelarasnya.

Mohd Saadon Muah berkata bantuan bulanan secara tetap mulai bulan ini sehingga wabak berakhir membabitkan 60 penerima dari 12 kampung yang sudah dikenal pasti.

“Menerusi program ini penerima diberikan bantuan makanan asas antaranya beras, gula dan minyak berjumlah RM100 sebulan.

“Diharap langkah ini dapat membantu mereka daripada terputus bekalan makanan,” katanya ditemui di Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Hotel De Palma, hari ini.

Mohd Saadon berkata mulai minggu ini juga pihaknya mengagihkan 1,200 bungkusan sayuran secara berperingkat bagi membantu lebih ramai penduduk yang terjejas Covid-19.

“Bungkusan mengandungi empat jenis sayuran. Seramai 100 penduduk di setiap kampung akan terima bantuan ini dan setiap minggu kita agihkan dalam 300 bungkus.

“Sepanjang Januari hingga Julai ini, hampir 5,000 bakul makanan diagihkan sekitar DUN. Jumlah ini tidak termasuk penerima yang dikuarantin,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 setiap DUN bagi menjayakan Program Bakul Makanan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.


Pengarang :