BUDAYARENCANA

Dunia dari kuarza merah jambu

Oleh Aliaa Alina

Ilustrasi Matarojit

Ketawanya nyaring tidak berhenti. Kaki Bina Sari terhincut-hincut membuka langkah tarian manakala bibirnya yang luka tersenyum sambil bercakap-cakap dalam nada yang kurang jelas.

Jiran tetangganya sekadar berani menghendap dari tingkap. Mereka mulai risau melihat kelakuan Bina Sari yang sudah hilang akal. Selepas penat menari, dia duduk bersimpuh sambil bergurau-senda dengan manusia halimunan di ruang tamu itu.

Jiran tetangga berpandangan sesama sendiri dan mula tertanya-tanya, di manakah suami Bina Sari yang berbangsa Bangladesh itu berada? Seharian mereka mencarinya di sekitar kejiranan setinggan yang terletak berhadapan sungai berkelodak lumpur yang dicemari air kumbahan najis.

Setelah dirisik, rupa-rupanya lelaki Bangladesh itu sudah ditahan pihak imigresen di pusat tahanan. Lelaki itu bersama rakan sekerja lain ditangkap di sebuah tapak pembinaan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. 

Sudah seminggu suaminya tidak kunjung pulang namun Bina Sari langsung tidak peduli. Lagipun, jika lelaki Bangladesh itu pulang ke rumah, sering kali dia memukul Bina Sari sepuas-puasnya untuk melampiaskan tekanan hidup sebagai seorang imigran yang ditindas.

Seragam sebagai tukang cuci di sebuah bangunan kerajaan sudah lama tersidai di ampaian tidak berangkat. Majikan sudah memberi amaran, jika kesan lebam jelas kelihatan di muka, Bina Sari akan diberhentikan kerja serta-merta.

Majikan itu, seorang perempuan tempatan yang gemuk gedempol memberi alasan bahawa syarikat itu tidak mahu timbul sebarang isu berkaitan dirinya. Telinga capangnya tidak sanggup mendengar suara-suara sumbang bertanya, adakah syarikat itu langsung tidak mempedulikan kebajikan pekerja?

Seorang pencuci yang lebih muda menasihatkan Bina Sari supaya mengadukan hal penderaan ini kepada pihak polis. Cadangan itu dibantah keras seorang pencuci yang lebih tua. Katanya, mereka pasti bertanyakan tentang dokumen diri Bina Sari terlebih dahulu sebelum ambil peduli dengan kesan lebam di muka dan di tubuhnya.

Hari demi hari, keadaan Bina Sari semakin tidak terurus. Suatu petang, dia turun ke halaman rumah dalam keadaan berbogel. Kanak-kanak yang sedang bermain lumpur ketawa mengekek melihat tubuh itu dipenuhi parut dan kesan libasan tali pinggang di bahagian betis dan pinggul.

“Allahuakbar!” Jerit seorang jiran lalu membalut tubuh Bina Sari dengan sehelai kain longyi berwarna hijau tua. Tubuh itu dibawa masuk ke dalam rumah lalu jiran itu memarahinya, sudah gilakah dia keluar rumah tanpa seurat benang di tubuh?

Bina Sari tersenyum dan matanya bersinar ceria. Kain itu ditanggalkan lalu dia berjalan berlenggang-lenggok seperti seorang model menggayakan busana di pentas fesyen.

“Butakah mata kamu, lihatlah busana indah di tubuhku!” jeritnya riang lalu dia mengambil sesuatu dari bawah bantal. Dia mengalungkan seuntai rantai yang diperbuat daripada tali rafia dan di tengah-tengah buah dadanya, tergantung seketul batu kuarza berwarna merah jambu yang berkilauan terang.

***

Mereka semua pernah mendengar khabar angin tentang batu kuarza berwarna merah jambu itu. Kuarza itu dikatakan bukan batu biasa sebaliknya berpuaka. Seperti saka jin, kuarza itu mahu hidup bertuankan seorang manusia.

Namun kuarza itu tidak memilih tuannya secara rawak, ia sering memilih manusia-manusia tidak bernasib baik dalam kehidupan. Entah apa kuasanya, dunia pasti menjadi lebih indah bagi manusia yang didampinginya. Neraka bertukar syurga, lumpur menjadi bubur dan duka adalah suka.

Seorang dukun lelaki tua dipanggil untuk menilik batu kuarza merah jambu itu. Mereka merayu supaya dukun itu membantu menyelamatkan Bina Sari daripada cengkaman kuarza puaka.

Dia menggeleng kerana segalanya sudah terlambat. Kuarza ini hanya mendatangi manusia yang hampir tiba dengan ajal. Masa Bina Sari sudah semakin suntuk di dunia ini. Dia simpati melihat perempuan kurus itu asyik tersengih-sengih ketika terbaring di tilam lusuh sambil matanya terbuntang luas. Ujarnya, Bina Sari sedang bergelut dengan sakaratulmaut tanpa dia sendiri sedari.

Seorang jiran mencadangkan supaya batu itu dilempar jauh ke dalam hutan atau ke dalam sungai hanyir di hadapan setinggan. Dukun lelaki sekadar menunduk, dia tahu bahawa tiada kuasa dapat menghalang ajal yang datang bersama kuarza itu. Sewaktu kecil, dukun itu turut menemui kuarza itu di atas katil ibunya. Tidak kiralah seberapa jauh dia cuba untuk menyorok kuarza itu, ia sentiasa mencari jalan untuk pulang semula ke sisi ibunya.

***

Selang beberapa hari, kawasan setinggan itu senyap-sunyi dari nyanyian Bina Sari. Seorang jiran memberanikan diri menjenguknya. Pintu kayu diketuk beberapa kali namun tidak bersahut. Dia menolak pintu tidak berkunci dan menemui wanita malang itu terbaring kaku di lantai dengan senyuman lebar di wajah.

Selepas kematian Bina Sari, jiran tetangga di kawasan setinggan tidak dapat melelapkan mata di malam hari. Mereka sering terdengar bunyi batu bergolek-golek di sekitar rumah. Dirasakan kuarza itu sedang menyelinap dari suatu sudut ke suatu sudut, kemudian ia masuk ke dalam lubang-lubang dinding dan memerhati semua manusia seperti seekor tikus. 

Dukun lelaki dipanggil sekali lagi, mereka memintanya melakukan upacara menolak bala kematian yang dibawa kuarza berwarna merah jambu itu. Mereka sanggup mengutip derma untuk membayar khidmatnya asalkan kelibat kuarza itu tidak lagi mengganggu kehidupan seharian.

Dukun itu merenung tajam muka-muka yang melihatnya penuh pengharapan. “Kuarza itu sebenarnya Malaikat Maut yang menyamar diri sebagai perhiasan indah untuk mengaburi mata mangsanya. Apa kau fikir, aku mampu untuk menghalang Malaikat Maut daripada menjalankan tugas yang sudah ditakdirkan untuknya?” 

***

Seorang ibu muda menjeram kepala anaknya yang demam panas. Puas dia memaksa namun anak kecil itu enggan membuka mulut untuk menelan bubur yang disuap. 

Dahi dan lehernya disentuh, panas masih tidak berkurang sejak semalam. Matanya asyik memandang ke luar, dia berdebar menunggu kedatangan suaminya yang masih belum pulang dari membeli ubat di farmasi.

Dia masuk sebentar ke dapur untuk mengambil air sejuk. Tiba-tiba terdengar suara anaknya ketawa kuat membuatkan hatinya sedikit lega. Mungkin suaminya sudah pulang dan membeli patung mainan untuk menghiburkan hati anak kecil itu.

Di ruang tamu, anak kecil itu asyik tersengih-sengih memandang ke luar pintu rumah. Gelas kaca di tangan ibu muda itu terlepas apabila dia terpandang sesuatu yang berkilau berwarna merah jambu di celah genggaman jari-jemari anaknya.

Sayup-sayup suara tangisan dan rintihan kedengaran di sekitar kawasan setinggan sebelum ditenggelami suara azan dari corong masjid-masjid yang berdekatan.


Pengarang :