Pengamal media mencuba aktiviti lasak yang disediakan Skytrex Sungai Congkak ketika Program Media Familiarization Trip 2019 Discover Hulu Langat anjuran Tourism Selangor, 5 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ekspo pelancongan virtual mula hari ini, banyak pakej menarik ditawar

SHAH ALAM, 27 OGOS: Tourism Selangor menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik sempena Ekspo Pelancongan Virtual (VTE) 2021 bermula hari ini sehingga Ahad, kata pengurus besarnya.

Azrul Shah Mohamad berkata pakej dari Eastin Hotel dan Skytrex Sungai Chongkak antara yang disediakan sepanjang tiga hari ekspo dalam talian anjuran Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM).

“Seiring keunikan fungsi pameran 3-Dimensi (3D) yang julung kali ditampilkan di Malaysia, tentunya kita menawarkan pengalaman digital serba menarik dengan perkongsian maklumat komprehensif.

“Saya menyeru orang ramai khususnya penggemar aktiviti pelancongan supaya tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran pakej berkaitan sepanjang penganjuran VTE2021,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azrul, selain pameran digital bersiaran dari jam 10 pagi hingga 10 malam, pameran luar talian diadakan 24 jam sehari tanpa melibatkan kehadiran secara fizikal seperti kelaziman.

Berkonsepkan Perniagaan kepada Pelanggan (B2C), VTE2021 adalah landasan pemasaran maya yang memberi peluang kepada orang ramai membeli pakej dan jualan promosi secara terus dari penjual.

Konsep itu diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan dan melakukan transaksi dalam talian yang lebih mudah serta efisien.

VTE2021 boleh disertai melalui pautan https://vte2021.malaysiaexpo.net/.


Pengarang :