S Sathishkumar (kiri) mengambil gambar ahli keluarganya selepas disuntik vaksin Covid-19 dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sementa di Hotel De Palma Shah Alam pada 11 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Empat beradik sertai Selvax, ikhtiar kurangkan risiko jangkitan wabak

SHAH ALAM, 11 OGOS: Empat beradik memanfaatkan Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti anjuran Kerajaan Negeri bagi memelihara keluarga daripada jangkitan Covid-19.

S Jojan,35, berkata dia bersama tiga adiknya termasuk ipar berusia antara 19 hingga 22 tahun menyertai program terbabit menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta secara tanpa janji temu.

“Kami mendaftar di MySejahtera sejak beberapa bulan lalu tetapi masih belum mendapat giliran. Bila tahu program Selvax, saya terus daftar pada Ahad dan dapat tarikh hari ini.

S Jojan, 35. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Adik dan ipar cuba nasib datang ke program ini dan terus terima vaksin. Sekarang semua keluarga dah vaksin jadi risiko jangkitan kurang,” katanya ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19 hari ini.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta Era Anuar,47, berkata Selvax membolehkan anak bongsunya Fasha Dyana Putri Mohd Fitri mendapat vaksin walaupun usia belum genap 18 tahun.

“Dua bulan lagi baru genap 18 tahun. Selvax benarkan anak ambil vaksin asalkan dibawa ibu bapa.

“Ini langkah yang bagus kerana kebanyakkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah mula bekerja. Anak pernah dijangkiti Covid-19 ketika bekerja jadi saya tidak mahu berulang lagi,” katanya.

Pelajar Nur Safia Khairunnisa Badrul Hisham, 19, berkata dia mengambil vaksin sebagai persediaan memasuki pusat pengajian tinggi dalam masa terdekat.

Era Anuar, 47, kakitangan swasta. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini sebagai ikhtiar. Tak lama lagi saya sambung peringkat Ijazah dan akan bergaul ramai individu. Kita tidak tahu siapa dijangkiti jadi ini adalah langkah berjaga-jaga,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos RM200 juta dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :