Orang ramai menunggu giliran untuk disuntik ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Setia di Kompleks Sukan PKNS, Petaling Jaya pada 30 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Sasar penduduk lengkap dua dos vaksin akhir tahun

SHAH ALAM, 2 OGOS: Selangor menyasarkan semua penduduk lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menjelang hujung tahun.

EXCO pembangunan luar bandar Borhan Aman Shah berkata sasaran itu berdasarkan peratusan terkini suntikan pelalian yang giat diberi setiap hari.

Menurutnya setakat hari ini sejumlah 4.58 juta dos vaksin telah disuntik di negeri ini dengan 1.28 juta individu lengkap dua dos.

“Kerjasama terjalin antara Kerajaan Selangor dengan PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) membantu meningkatkan peratusan suntikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Borhan berkata jumlah pemberian vaksin harian sepanjang bulan ini dijangka menurun memandangkan semakin ramai penduduk telah menerima pelalian masing-masing.

“Untuk Selvax, ada yang sudah mendapat suntikan dos kedua, kita akan pastikan tidak ada yang tertinggal untuk divaksin,” katanya.

Selangor berjaya mencatat kadar pemberian vaksin Covid-19 harian melebihi 150,000 dos pada Julai, melepasi sasaran harian sebanyak 135,000 dos.

Jumlah itu tidak termasuk kadar vaksinasi harian menerusi program Selvax membabitkan 15,000 dos sehari.


Pengarang :