Mohd Khairuddin Othman berucap pada majlis menandatangani perjanjian antara Serba Dinamik Group Berhad dan persatuan e-sukan di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 30 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Unit khas ditubuh bangunkan Kompleks Sukan Shah Alam

SHAH ALAM, 24 OGOS: Unit Projek Khas (UPK) ditubuh di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk pelaksanaan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata penubuhan unit khas itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang bersidang pada 9 Jun lalu.

“Unit khas ini bertindak sebagai pengurus projek yang bertanggungjawab memastikan pembangunan KSSA dilaksanakan secara teratur dan komprehensif untuk menyumbang nilai serta pulangan tinggi kepada kerajaan demi manfaat rakyat Selangor.

“Buat masa ini lapan pelawaan memberi cadangan (RFP) daripada syarikat-syarikat swasta dan sedang diperhalusi pihak UPK. Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan KSSA bersesuaian dengan hasrat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari iaitu selari dengan konsep ‘Youth and Sports City’,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berhubung status Stadium Shah Alam pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 21 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Beliau memaklumkan proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Stadium Shah Alam yang mampu menampung 80,000 penonton tidak dapat digunakan buat masa sekarang akibat kerosakan struktur bumbung.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Oktober tahun lalu, Amirudin mencadangkan projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion di sekitar stadium itu.


Pengarang :