Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dan picagari khas ‘Low Dead Volume’ yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

FDA beri kelulusan penuh penggunaan Pfizer

WASHINGTON, 24 OGOS: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Isnin menggesa individu yang belum divaksinasi untuk segera mendapatkan suntikan di tengah-tengah penularan varian Delta.

Biden berkata demikian selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) memberikan kelulusan penuh terhadap vaksin Pfizer, lapor Xinhua.

“Jadi, biar saya katakan dengan jelas: Sekiranya anda antara satu daripada berjuta-juta orang Amerika yang sebelum ini tidak mahu disuntik selagi tidak mendapat kelulusan penuh dari FDA, sekarang saat yang dinanti telah tiba.

“Inilah masanya untuk anda divaksinasi dan dapatkannya hari ini,” kata Biden.

Sejak beberapa minggu lalu, pentadbiran Biden melancarkan keperluan vaksin dalam kalangan pekerja persekutuan, anggota tentera, kemudahan perubatan persekutuan dan pekerja rumah penjagaan.

Sehingga Ahad, 51.5 peratus daripada jumlah penduduk AS telah lengkap divaksin, menurut data CDC.

-BERNAMA


Pengarang :