Penghantar makanan, Malynda Harjono memasukkan pek makanan dalam bekas simpanan selepas program Sumbangan p-panggilan Inisiatif RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gadis jadi penghantar makanan, simpan wang untuk berkahwin

SHAH ALAM, 16 OGOS: Khidmat penghantar makanan lazimnya sinonim dengan lelaki, namun seorang gadis membuktikan kemampuan melakukan pekerjaan itu demi mengumpul wang untuk berkahwin.

Malynda Harjono, 24, mula menyertai syarikat p-panggilan Grab Malaysia tahun lalu untuk menjana pendapatan sampingan memandangkan gaji sedia ada sebagai pembantu tadbir tidak mencukupi.

Meskipun berdepan risiko keselamatan terutama ketika cuaca buruk, anak bongsu dari dua beradik itu mengambil dan menghantar pesanan ke rumah pelanggan sekitar Sungai Buloh dan Petaling Jaya.

“Saya buat dua kerja sebab mahu cari wang simpanan kahwin. Bukan saya seorang malah tunang turut melakukan perkara sama, Insya-Allah akhir tahun ini kami akan menamatkan zaman bujang masing-masing.

“Pekerjaan ini sebenarnya banyak bantu saya kerana boleh dapat wang dengan mudah malah pendapatan harian saya mampu cecah sehingga RM200, bergantung kepada jumlah pelanggan dan tempoh waktu bekerja,” katanya kepada Selangorkini.

Malynda antara 600 peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menerima bantuan kewangan RM500 yang disampaikan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di perkarangan Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen U19 di sini semalam.

Anak yatim yang kematian bapa sejak lima tahun lalu akibat kencing manis berkata insentif tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Selangor terhadap individu yang terlibat dalam sektor ekonomi gig.

“Bantuan ini dimohon selepas dimaklumkan oleh abang ipar dan bersyukur kerana layak. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi membantu golongan seperti kami, sekurang-kurangnya kami tidak rasa terasing,” katanya.

Muhammad Farrhan Mohammad

Seorang lagi peserta RiDE, Muhammad Farrhan Mohamad Noor Adzhar berkata pandemik Covid-19 menyebabkan dia perlu melakukan dua kerja dalam sehari bagi menyara keluarga terutama ibu bapanya yang tiada mata pencarian.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata dia menghantar makanan ditempah pelanggan Food Panda bermula jam 6 petang hingga 10 malam sebaik selesai tugas sebagai penghantar sampel makmal di sebuah klinik swasta.

“Rutin harian saya agak terbeban tetapi harus diteruskan kerana kos sara hidup ketika ini sangat tinggi ditambah pula dengan Covid-19 yang masih berlarutan dan tidak tahu sampai bila akan berakhir.

“Sebagai individu bujang dan masih memiliki ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari wang serta bantu mereka sebaik mungkin tanpa perlu mengeluh,” kata anak bongsu dari tiga beradik yang menetap di Kampung Paya Jaras.


Pengarang :