Kakitangan Sutera Globals Muhammad Hakimin Nor Azime, 20, menitiskan sampel air liur pesakit pada kit ujian kendiri ‘Gmate Covid-19 Rapid Antigen Test’ buatan Korea pada 29 Julai 2021. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Galak saringan kendiri, DUN Bukit Gasing sedia kit ujian air liur

SHAH ALAM, 16 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menyediakan kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur pada harga bawah pasaran.

Wakil rakyat R Rajiv berkata sebanyak 1,000 kit itu dijual pada harga RM10 berbanding harga pasaran tetapi setiap individu dihad kepada lima kit sahaja.

“Kita berikan subsidi ini kerana mahu menggalakkan lebih ramai masyarakat melakukan saringan Covid-19 walaupun hanya di rumah.

“Kita faham ada segelintir individu takut hendak ke klinik untuk buat ujian calitan. Kita harap ramai orang ambil peluang kerana kita jual murah berbanding pasaran sekitar RM30 ke RM40,” katanya kepada SelangorKini.

Individu yang berminat boleh ke pusat khidmat masyarakat DUN Bukit Gasing setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 10 pagi sehingga 5 petang.

Selain inisiatif DUN itu, Kerajaan Selangor juga menyediakan 60,000 kit kendiri sedemikian secara percuma kepada keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan individu berisiko tinggi di negeri ini mulai September.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 Ogos berkata kit tersebut akan dibekal kepada semua 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.


Pengarang :