Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis sambutan Hari Guru Jais 2021 bertemakan “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jais pada 5 Ogos 2021.
AGAMAAGENDA

Guru Jais disaran tambah baik profesion, bentuk peribadi pelajar cemerlang

SHAH ALAM, 5 OGOS: Guru sekolah agama kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) disaran mempertingkatkan keupayaan membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kalangan pelajar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini kerana kitab suci Islam menjadi benteng paling ampuh dalam mendepani cabaran kehidupan.

“Saya terus meletakkan keyakinan bahawa al-Quran dibaca, difahami dan dihayati akan melahirkan murid yang hidup dengan budaya Islam mampan untuk mengharungi cabaran global.

“Saya juga yakin cita-cita membentuk masyarakat madani di Selangor bukan sekadar impian dan angan-angan semata-mata,” katanya berucap pada majlis sambutan Hari Guru Jais 2021 bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Jais hari ini.

Amirudin turut memetik hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan muslim supaya mengembalikan rujukan kepada al-Quran dan as-sunnah untuk menangani sesuatu rintangan.

Sementara itu, beliau meminta warga pendidik supaya menambah baik profesion perguruan selaras ciri wajib sebagai murabbi, mudarris, mualim, muaddib dan mursyid demi kepuasan pelajar.

“Selain menjayakan proses penyampaian ilmu dan maklumat, mereka perlu menjadi guru yang mampu membentuk peribadi murid seterusnya melahirkan insan cemerlang.

“Mereka juga harus menjadi pendidik yang membentuk akhlak terpuji murid secara menyeluruh dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal di samping mewarnai kehidupan pelajar dengan adab,” katanya.


Pengarang :