Ir Izham Hashim (dua, kanan) meninjau proses suntikan pelalian program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 1 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Hadir tanpa janji temu, DUN Pandan Indah sasar 2,500 individu divaksin

AMPANG, 1 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah menyasarkan 2,500 individu menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti diadakan selama dua hari sehingga esok.

Wakil rakyatnya berkata penduduk setempat termasuk warga asing digalakkan hadir terus tanpa janji temu (walk-in) dengan mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Ini untuk meningkatkan jumlah rakyat divaksin. Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) semalam juga sepakat membenarkan suntikan kepada warga asing kerana jika tidak mereka mungkin boleh jadi punca penularan Covid-19.

“Kita juga yakin mencapai sasaran kerana setakat 3 petang tadi seramai 1,000 orang telah disuntik,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax Komuniti DUN Pandan Indah di Dewan MPAJ di sini hari ini.

Pada masa sama, Izham turut menasihatkan orang ramai agar tidak takut mendapatkan vaksin sebaliknya perlu bimbang apabila diri dijangkiti Covid-19 yang lebih berbahaya.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Inisiatif bernilai RM200 juta yang menyasar warga emas dan golongan berpendapatan rendah diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :