Seorang penerima mendapat suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Rumah Prihatin, Hotel Grand Seasons pada 15 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 35 peratus populasi lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Sebanyak 28,837,742 dos vaksin COVID-19 diberikan setakat semalam menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya memaklumkan jumlah yang menerima dos pertama ialah 17,437,286 orang manakala 11,400,456 orang menerima dos kedua.

Menurut JKJAV, 53.4 peratus daripada jumlah populasi negara mendapat dos pertama manakala 34.9 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan peningkatan kepada 525,111 dos semalam berbanding 501,776 dos pada Isnin, dengan 184,972 adalah dos pertama manakala 340,139 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA


Pengarang :