Pengunjung Pasar Tani di pekarangan Stadium Shah Alam pada 9 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Hampir 4,000 peniaga pasar malam, tani di Petaling Jaya beroperasi semula

SHAH ALAM, 28 OGOS: Seramai 3,995 peniaga pasar pagi, malam dan tani di Petaling Jaya kembali beroperasi selepas kerajaan melonggarkan 11 sektor ekonomi minggu lalu.

Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata jumlah itu melibatkan peniaga di 28 pasar malam, enam pasar pagi serta tiga pasar tani.

“Sehubungan dengan itu majlis menyediakan akujanji kepada peniaga supaya mematuhi syarat lesen perniagaan dan tatacara operasi piawai (SOP).

“Peniaga juga perlu lengkap menerima vaksin Covid-19,” kata Sharipah Marhaini Syed Ali menerusi perutusan mesyuarat bulanan yang berlangsung semalam.

Bermula 16 Ogos, kerajaan membenarkan premis cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kereta dan pusat pengedaran serta jualan kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; barang kemas dan kedai gunting rambut

Sementara itu Sharipah Marhaini berkata pihaknya meneruskan pemberian 144 permit bermasa sepanjang Pelan Pemulihan Negara bagi sesi petang dan malam.

“Keseluruhan 318 permit dikeluarkan. Bancian mendapati peniaga yang diberikan permit ini adalah golongan hilang pendapatan dan sumber rezeki,” katanya.

 


Pengarang :