Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Rawang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan, Selayang pada 15 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 50 peratus rakyat Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 15 OGOS : Seramai 2.36 juta atau 49.7 peratus rakyat Selangor telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah penduduk yang mendapat dos pertama pula adalah 3.73 juta atau 78.6 peratus.

“Setakat 15 Ogos, sejumlah 6.09 juta dos vaksin telah disuntik di Selangor menerusi  Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Manakala, menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) tambahan sebanyak 292,026 dos telah disuntik,”  katanya menerusi Facebook.

Bagi mempercepatkan kadar vaksinasi penduduk, Kerajaan Negeri melancarkan Selvax Industri dan Komuniti pada Jun dengan menumpukan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Usaha membabitkan kos RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Semalam Dato’ Menteri Besar berkata hampir 100 peratus penduduk dewasa di Selangor yang mendaftar telah menerima dos pertama suntikan pelalian.

Berdasarkan perkembangan itu, beliau menjangkakan penurunan kes Covid-19 di negeri ini pada September.

 


Pengarang :