Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada Orang Asli dalam bas yang disewa khas dengan kerjasama RapidKL ketika program Vaksin Orang Asli di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Desa Temuan Bukit Lanjan pada 11 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 70 peratus Orang Asli negeri dapat satu dos vaksin

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sebanyak 67.12 peratus atau 9,633 Orang Asli di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat 22 Ogos.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata seramai 6,818 individu pula lengkap dua dos pelalian dalam tempoh sama.

Beliau turut menjelaskan seramai 613 daripada 20,737 masyarakat Orang Asli dijangkiti Covid-19.

“Ia menunjukkan peratusan sebanyak 0.029 peratus daripada jumlah penduduk Orang Asli di Selangor telah dijangkiti Covid-19,” katanya ketika menggulung pertanyaan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Selain itu, Loy Sian berkata lebih 4,000 individu belum menerima suntikan dan usaha mengesan mereka giat dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Ada antara mereka yang takut dan tidak percaya,” katanya menambah suntikan akan diberikan di Hospital Orang Asli Gombak.

Pada 14 Ogos, Loy Sian berkata peratusan tinggi vaksinasi Orang Asli didorong tahap kesedaran yang makin baik dan yakin jumlah itu meningkat kepada 80 peratus menjelang September.

Mereka divaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, JAKOA dan Vaksin Selangor (Selvax).


Pengarang :