Petugas kesihatan mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
NASIONAL

Hanya 31 kes Delta di Selangor, Sarawak paling banyak

SHAH ALAM, 10 OGOS: Selangor merekodkan 31 kes varian Delta (B.1.617.2), termasuk dua import, daripada 424 kes di seluruh negara.

Varian berbahaya ini, dikesan di India, menjadi perbualan utama di seluruh dunia kerana cepat merebak dan mendatangkan risiko kematian.

Menurut perangkaan yang dikongsi ketua pengarah kesihatan, Selangor mendahului negeri lain dalam penularan Beta (B.1.351) dengan 48 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan varian Delta banyak dicatat di Sarawak dengan 272 kes dan juga Beta dengan 47 kes.

Negeri lain yang tinggi jangkitan Delta seperti berikut: Pahang dengan 19 kes, Johor (16), Labuan (14), Kuala Lumpur dan Kedah masing-masing 13 kes.

Beta, yang dikesan di Afrika Selatan, banyak juga ditemui di: Kelantan dengan 25 kes, Perak (16), Kedah (14) dan Johor (10).

Di seluruh negara varian ini merekodkan 209 kes, varian membimbangkan (VOC) yang paling banyak tersebar daripada 424 kes.

Sementara varian VOC yang kurang tersebar pula Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom. Daripada 14 kes semuanya, lapan dikesan di Selangor.

Varian yang perlu diwaspadai (VOI) pula tidak banyak dikesan di negara ini, hanya 20 kes dengan pecahan: Theta sebanyak 13 kes, Kappa (empat) dan Eta (tiga).

Theta (P.3), Kappa (B.1.617.1) dan Eta (B.1.525) masing-masing dikesan di Filipina, India dan beberapa negara.

Jumlah VOC dan VOI yang dikesan ini hasil kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak.


Pengarang :