ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri (tengah) bersama Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi (kanan) dan Naib Presiden KEADILAN Tian Chua (kiri) melihat tempat penyimpanan mayat pesakit Covid-19 dalam kontena di HTAR, Klang pada 19 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hospital Klang terima sumbangan kontena mayat pesakit Covid-19

KLANG, 19 OGOS: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang bersama beberapa pihak menyumbang kontena menyimpan mayat bagi kegunaan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Azmizam Zaman Huri berkata bantuan itu sebagai inisiatif membantu pihak hospital untuk mengendalikan peningkatan bilangan mayat terutama melibatkan pesakit Covid-19.

“Kami sedar HTAR berdepan cabaran besar terima pesakit ramai selain bilangan kes kematian Jadi kami putuskan beri kontena ini yang boleh memuatkan 48 mayat dalam satu-satu masa.

“Untuk bantu HTAR rawat orang kami tidak ada ilmu, jadi hanya mampu bantu dari segi kemudahan. Semoga sumbangan ini mengurangkan beban petugas hospital,” katanya selepas menyerahkan kontena kepada Pengarah HTAR Dr Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Penyumbang lain adalah Naib Presiden KEADILAN Tian Chua; individu persendirian Vincent Chuah; Unit Khas Van Jenazah serta syarikat RDB Haulage dan A One.

Sementara itu Dr Dzulkarnain berkata sumbangan berkenaan membantu pihaknya menyediakan tempat menyimpan mayat yang lebih tersusun.

“Sebelum ini kami terima ramai pesakit selain jumlah yang meninggal juga ramai menyebabkan berlakukanya limpahan mayat disebabkan tempat simpanan tidak mencukupi,” katanya.

Pada Julai video memaparkan keadaan mayat pesakit Covid-19 di HTAR. yang diletakkan di lantai secara berlapis tular di media sosial mendapat perhatian pelbagai pihak.

Susulan itu beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan kontena bagi mengatasi masalah itu.

 


Pengarang :