Ucapan takziah kepada Khisamudin Ismail yang meninggal dunia di kediamannya di Kota Puteri, Batu Arang akibat komplikasi jantung pada awal pagi 14 Ogos 2021. Foto Facebook Masjid Negara Malaysia
AGENDANASIONAL

Imam Masjid Negara meninggal dunia akibat komplikasi jantung

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Imam Masjid Negara Khisamudin Ismail meninggal dunia akibat komplikasi jantung, pada jam 4 pagi ini di kediamannya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor.

Berita pemergian Allahyarham itu dikongsi Masjid Negara menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

“Kami kehilangan seorang rakan, imam dan guru yang penuh dedikasi dalam tugasnya. Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan solihin.

“Didoakan agar isteri, anak-anak dan ahli keluarga bersabar menghadapi ujian ini,” demikian menurut hantaran itu.

Menurut Penolong Pegawai Penerangan Masjid Negara Ahmad Faizal Azman, yang dihubungi Bernama, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada kira-kira jam 10.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Batu Arang.

Khisamudin yang genap berusia 53 tahun hari ini, meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Allahyarham mula berkhidmat sebagai imam di Masjid Negara pada April 2014, kemudian menjadi tenaga pengajar di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara pada April 2018, sebelum kembali bertugas sebagai imam di Masjid Negara pada Jun tahun sama.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya ada memaklumkan kepada beliau untuk menziarahinya bila ada masa yang sesuai. Namun, perancangan Allah SWT sudah pasti ada hikmahnya. Takziah diucapkan kepada keluarga Ustaz Khisamudin Ismail, Imam Masjid Negara,” tulisnya di Facebook.

-BERNAMA


Pengarang :