Penerima suntikan vaksin Covid-19 kelihatan ceria selepas menerima suntikan tersebut semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma Shah Alam pada 3 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Individu lengkap vaksin disaran tidak salah guna kelonggaran

SHAH ALAM: 21 OGOS: Ketua pengarah kesihatan mengingatkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tidak leka dengan menyalahguna hak istimewa atau kelonggaran diberikan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sekiranya masyarakat memandang ringan, beliau tidak menolak kemungkinan negara akan menghadapi satu lagi ‘pertempuran’ dengan virus Covid-19.

“Kita perlu ingat masih ada sebahagian daripada populasi di negara ini belum divaksin. Mereka ini mudah terkena jangkitan dan kita harus memastikan kadar transmisi serendah mungkin bagi mencegah penyebaran varian atau munculnya varian baharu.

“Bagi individu sudah menerima vaksin lengkap, perlu ada disiplin tinggi untuk tidak menyalahgunakan hak istimewa diberikan,” katanya menerusi Facebook.

Beliau juga mengingatkan individu disahkan positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat untuk menjalani pengasingan atau kuarantin dalam kadar segera supaya tidak mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan.

Pada 19 Ogos, kerajaan membenarkan individu lengkap dua dos menikmati kemudahan makan di restoran, bersukan dan pergi ke pasar malam di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai semalam.


Pengarang :