Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kementerian Pertahanan pada 22 Disember 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ismail Sabri angkat sumpah perdana menteri baharu esok

SHAH ALAM, 20 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pelantikan ahli parlimen Bera selepas Baginda menerima surat akuan seramai 114 ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai perdana menteri Malaysia ke-9,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai perdana menteri akan dijalankan jam 2.30 petang esok di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan perdana menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

“Baginda berharap kemelut politik dapat diakhiri segera dan semua ahli Dewan Rakyat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19, demi kepentingan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.

Pelantikan perdana menteri baharu dibuat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.


Pengarang :