Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ismail Sabri umum barisan Kabinet 11 pagi esok – Pejabat PM

SHAH ALAM, 26 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan pembentukan barisan Kabinetnya pada jam 11 pagi esok.

Sementara itu, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri akan berlangsung pada jam 2.30 petang Isnin depan, menurut Pejabat Perdana Menteri seperti dilapor Malaysiakini.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Ismail Sabri akan mengumumkan senarai Kabinet, petang ini selepas senarai cadangannya mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Namun pejabatnya memaklumkan tiada pengumuman barisan Kabinet oleh Ismail Sabri hari ini, lapor Bernama.

Ismail Sabri hari ini menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Abdulaziz, di Kuantan dipercayai bagi mempersembahkan cadangan senarai nama menteri Kabinet.

Beliau dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 10.53 pagi dengan diiringi oleh tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.

Kenderaan dinaiki beliau beredar dari istana pada jam 1.38 tengah hari dan Ismail Sabri sempat melambaikan tangan kepada wartawan dan jurufoto yang menanti di laluan utama ke Istana Abdulaziz.

Turut bersama perdana menteri ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.


Pengarang :