Sukarelawan Amal Valley membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia mengusung jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jais bantu urus 776 jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menguruskan 776 jenazah pesakit Covid-19 setakat 10 Ogos lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebanyak 357 jenazah, Hospital Ampang (142), Hospital Serdang (73) dan Hospital Kajang (71) dan Hospital Banting (44).

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan manakala Hospital Shah Alam (13), Hospital Tanjung Karang (8), hospital di Sabak Bernam (37), hospital di Hulu Selangor (11) serta hospital swasta dan lain-lain (20).

“Jais memberi khidmat pengurusan jenazah Covid-19 secara percuma melainkan kos melibatkan tanah perkuburan sahaja perlu dibayar oleh waris mengikut ketentuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekiranya di bawah seliaan PBT, kos yang perlu dibayar antara RM120 hingga RM300 manakala kos kubur kariah pula tidak melebihi RM500,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berhubung pengurusan jenazah Covid-19 pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Amirudin seramai 189 sukarelawan yang dianggotai lapan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) dan beberapa individu serta orang perseorangan yang bekerjasama dengan Jais untuk pengendalian jenazah Covid-19.


Pengarang :